Melalui bilah-bilah hari dalam kehidupan sesekali melelahkan. Jiwa tenat menghirup sisa-sisa perjalanan. Jasad lesu menghayun langkah keazaman. Dunia yang dirasakan indah terkadang menyapa dengan penuh kejutan. Dikirimnya surat cinta tak berbalas. Diajunya pukulan kekalahan yang merebahkan. Dihantarnya petir cubaan yang menggoncang jiwa. Sungguh insan itu sangat lemah. Tika diterjah dengan pelbagai onak dan duri dirasakan tak mampu lagi berjalan sendiri. Tika diasak dengan ombak badai yang mengganas maka terdampar lemah di sisir pengharapan. Namun itulah rencah kehidupan yang menghadirkan kemanisan jika kita bersabar. Sesungguhnya, Allah telah berfirman di dalam Al-quran,
(Surah al-Ankabut : 2)
Sesungguhnya, tuhan berbicara dengan manusia bukan dengan lafaz kalimah tetapi melalui pentas ujian untuk mendidik jiwa-jiwa insan.
Oleh itu, ketika kita gagal peperiksaan yakinlah terselit hikmah di sebalik kisah. Mungkin tuhan menyuruh kita agar lebih kuat berusaha. Ketika ukhwah kita keretakan yakinlah mungkin tuhan menegur kita supaya mengislah diri untuk teman. Ketika kita diuji dengan kematian insan yang tersayang yakinlah ada kebaikan di sebalik ujian. Berbaik sangkalah dengan tuhan. Tuhan tidak pernah menghampakan hamba-hambanya. Jika begitu, sudah tentu kita akan sentiasa bahagia untuk melalui denai-denai hari yang mendatang. Jika ada nikmat maka syukur. Jika ditimpa sulit maka sabar.
DISEBALIK KISAH GUA THUR
Ketika penghijrahan baginda bersama Abu Bakar ke Madinah banyak kisah yang memaparkan pengajaran. Salah satunya ialah ketika baginda dan sahabatnya berada di dalam gua Thur. Tika itu orang kafir Quraisy yang berusaha untuk mencari Rasulullah betul-betul berada di tepi Gua Thur. Melihat keadaan itu, Abu Bakar menjadi resah dan gelisah. Lalu dia pun berkata ,
“ Wahai Rasulullah , sekiranya mereka masuk ke dalam gua ini pasti kita akan dilihat oleh mereka.”
Allah melindungi Nabi Muhammad dan Abu Bakar lalu berfirman :
(Surah At-Taubah: ayat 40)
Doa dan Tawakal
( Surah Al-Baqarah:186)
Kita dapat lihat sendiri janji tuhan. Betapa dekatnya dia dengan hambanya. Jika hambanya meminta maka akan diperkenankannya. Oleh itu, kita jangan sesekali berputus asa dari rahmat dan kasih sayang tuhan.
Ada insan merasakan dirinya sangat hina disisi tuhan. Semuanya adalah disebabkan dosa-dosa silam yang datang menyergah. Sehingga si hamba merasa pintu taubat sudah tertutup buatnya. Oleh itu jika hati mula dibisikkan dengan andaian yang melemahkan, sepuhlah ia dengan kalam tuhan. Sesungguhnya tuhan akan mengampuni segala dosa hambanya yang tidak mensyirikkannya. Oleh itu, berdoalah dengan sepenuh jiwa dan raga. Kejarlah taubat nasuha sebelum lahad memanggil kita. Selagi nyawa dikandung badan jangan disiakannya. Yakinlah Allah itu dekat.
Ada juga ramai manusia yang diaju dengan berbagai masalah kehidupan. Hingga terkadang tersungkur hingga rebah menyembah bumi. Hingga merasa jalan dilalui semakin sempit hingga tidak tahu arah mana yang hendak dituju. Hingga merasa dunia semakin kelam sehingga tidak nampak sinar dalam perjalanan. Maka bila dugaan mula menyergap jangan lupa berdoa agar dihulur tangan-tangan tuhan. Berdoalah dengan penuh pengharapan dan penghayatan.Rebutlah se-pertiga malam untuk meluah rasa hati dengan penuh kesyahduan.Yakinlah Allah itu dekat.
Tidak kurang juga ada hamba yang punya harapan besar dalam menerus perjalanan. Seorang mujahid mendamba kejayaan di medan peperangan. Seorang pelajar memerah keringat demi mengejar kecemerlangan. Sepasang pasangan mengharap sinar kebahagiaan dalam perhubungan. Semua orang punya impian mereka tersendiri. Namun sesekali ayunan langkah lesu dalam meneruskan legasi perjuangan. Oleh kerna itu, maka selayaknya si hamba memohon pertolongan tuhan Supaya impian dipacu hingga ke mercu. Yakinlah, Allah itu dekat.
Akhir tinta, semaikanlah iman di dada. Agar ia bercambah dengan variasi rona. Bila cinta pada tuhan mula berputik, barulah mudah untuk merasa kehangatan cintanya. Sehingga bila tak bersua rasa rindu mula bertandang, bila tak mengadu rasa syahdu mula mengundang. Ingatlah selalu bahawa sememangnya Allah itu sangat dekat pada hamba-hambanya.
Comments
Post a Comment